Analisis Filem  

Posted by WaN_IkRaM in

"From Paris With Love" dibintangi oleh John Travolta dan Rhys Meyers merupakan filem tentang terrorist Pakistan yang ingin melakukan pengeboman pada sebuah Summit di Paris. Tetapi, jika sahabat menonton filem ini, ianya secara jelas MENGHINA ISLAM dengan menyogokkan dan memomokkan bahawa Islam itu adalah agama terrorisme.

Dengan tujuan untuk menyemarakkan ISLAMOPHOBIA dikalangan penonton, filem ini cuba menunjukkan doktrin ajaran Islam (berdasarkan fahaman yang cuba diputarbelitkan oleh filem berkenaan daripada ajaran Islam yang sebenar) iaitu tujuan dan maksud hidup apabila sudah memeluk agama Islam.

Beberapa perkara yang ingin ditonjolkan di dalam filem tersebut tentang Islam iaitu :

1) Agama Islam merupakan agama Terrorisme, yang sentiasa mencari jalan untuk membunuh manusia yang beragama selain Islam. Sanggup mati walau diberi peluang untuk hidup. Umat Islam pula umat yang sentiasa menginginkan pengeboman, pembunuhan dan sebagainya.

2) Cuba memberi peringatan kepada NON MUSLIM bahawa sesiapa yang memeluk agama Islam, mereka akan mengerti satu tujuan dalam hidup iaitu dengan menolong membunuh dan mengebom manusia. Berani mati pula seolah-olah merupakan ajaran utama di dalam Islam.

maksudnya filem ini cuba menyebarluaskan salahfaham terhadap agama Islam kepada mereka yang ingin memeluk agama Islam, yang tidak mengenali agama Islam, dan yang baru cuba mengenali dan mempelajari Islam dan sebagainya lagi. Dan Penulis boleh mengatakan dengan pasti bahawa inilah tujuan sebenar filem ini.

Penulis tidak pasti mengapa filem ini tidak diharamkan kerana ianya jelas menghina Islam. Diselitkan dengan berbagai-bagai aksi yang begitu hebat, filem ini cuba menarik perhatian penonton untuk menonton aksi-aksi nya itu, namun samada secara langsung atau tidak langsung, mengajak penonton untuk "mempelajari" apakah Islam (dalam kacamata Barat).

Ekspedisi Pencarian Cinta  

Posted by WaN_IkRaM in



Tidakkah kita sedar bahawa tatkala kita mengharapkan sesuatu yg dipanggil cinta hadir di dalam hidup kita, sebenarnya cinta itu telah pun kita dapatkan..

Tidakkah kita sedar bahawa ketika kita sunyi dan menginginkan teman, kita sudah pun ditemani...

Tatkala tiada siapa disekeliling kita, tiada siapa pedulikan kita, Dia tetap setia bersama kita..

Bahkan tatkala kita melupakanNya, Dia sentiasa mengingati kita, Dalam keadaan kita tidak sedar dan lupa dan tidak mengendahkanNya, Dia masih lagi memberikan pemberian dan nikmatNya kepada kita..maka katakan lah wahai manusia, siapa yang kamu cintai? Dan siapa sebenarnya yang amat2 mencintaimu? Manusia atau Penciptamu...?



"barangsiapa yg tidak mengikuti sunnahku, maka dia bkn dari kalangan ku dan antara sunnahku ialah berkahwin"..kata nabi.

Cinta Allah itu merupakan tujuan dan matlamat utama manusia, tatkala Ibrahim diperintahkan utk menyembelih Ismail, mengapa dengan rela hati mereka berdua redha? Ianya adalah untuk menunjukkan bahawa Allah itu yg pertama untuk dicintai dan diagungkan.

Adakah Allah kata jgn cintakan anakmu wahai ibrahim, hanya aku yang kau patut cintai? Tidak, bukan itu yang Allah suruh, tetapi martabat cinta kepada manusia itu tidak boleh melebihi cinta kepada Allah dan rasulnya, inilah ruh kisah ini.

Tetapi persoalan yang utama ialah:
1. Di mana cinta kita letakkan?
2. Siapa cinta kita yang paling utama sekali?
3. Apa yang sudah kita lakukan untuk cinta kita?

Bagi persoalan pertama, Islam tidak melarang kita utk bercinta sesama makhluk kerana itu adalah fitrah manusia yang dijadikan Allah sejak Adam dan Hawa lagi. Jika langsung tiada cinta kepada manusia, hanya kepada Allah semata-mata, maka kita sudah melampaui batas dan Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.

Bagi persoalan kedua, ramai yang masih ragu, keliru dan buntu mencari-cari siapa yang mereka cintakan, siapa yang sebenarnya menyintai mereka. Tetapi jika kita bukakan ekspedisi cinta kepada mereka, barulah mereka sedar hakikat sebenar siapa yang sepatutnya dicintai dan siapa yang menyintai mereka seluruh kehidupan mereka.

Bagi persoalan ketiga pula, setelah kita menyedari hakikat cinta yang sebenar, sudah pasti tidak akan terjadi kes bunuh diri, membunuh orang lain, kecewa berpanjangan, putus asa pada hidup hanya semata-mata tidak mendapatkan cinta manusia. Malah manusia pasti akan mencari jalan sebenar untuk mencapai cinta dan akhirnya menjadi seorang yang tidak takut kepada mati, kerana Mati Adalah Syarat Bertemu Cinta. Maka apa yang akan dilakukan oleh manusia? Sudah tentu cara yang diredhai Allah.


Hidup ini pasti indah jika disulami cinta. Jika cinta dan pertemuan sesama manusia dan makhluk itu adalah antara nikmat yang terindah di atas bumi ini, bayangkan betapa nikmatnya bertemu dan berjumpa dengan Pencipta nikmat cinta itu sendiri.
Renung-renungkanlah kehidupan cinta kita sekarang...


SOLAT SUNAT ISTIKHARAH  

Posted by WaN_IkRaM in

Bagi menyelesaikan jalan buntu atau untuk membuat suatu pilihan atau keputusan dalam segala urusan kehidupan, maka umat Islam disuruh mengerjakan solat sunat Istikharah. la boleh dikerjakan dua rakaat atau sehingga dua belas rakaat (enam salam). Waktunya siang atau malam. Sebaik-baiknya dikerjakan pada waktu sebelum tidur malam. Insya-Allah Tuhan akan menggerakkan hati anda dan memberi petunjuk untuk membuat sesuatu keputusan atau penentuan yang betul.

Terdapat beberapa hadis Rasulullah s.a.w.. yang menggalakkan solat Istikharah. Di antaranya ialah Rasulullah s.a.w. bersabda: yang bermaksud "Di antara kebahagiaan anak Adam ialah Solat Istikharah (minta pilih) daripada Allah Taala dalam segala urusannya dan di antaranya kecelakaan anak Adam ialah meninggalkan solat Istikharah daripada Allah pada segala urusannya."

Lafaz dan niatnya adalah seperti berikut:

أصلي سنة الإستخارة ركعتين لله تعالى

Sahaja aku solat Sunat Istikharah dua rakaat kerana Allah Taala.


Kaedah 1

Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat yang pertama, baca ayat Al-Kursi (7 kali). Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat yang kedua, baca Surah Al-Ikhlas (11 kali). Dalam sujud yang terakhir, baca tasbih/doa berikut sebanyak 40 kali:

سبحانك لا علم لنا الا ما علّمتنا إنك أنت العليم الحكيم


Sebelum bangkit dari sujud, mohonlah kepada Allah S. W.T. dipertunjukkan jalan yang betul dalam membuat keputusan dan pilihan.


Doa Selepas Solat Sunat Istikharah:

اللهم إني استخيرك بعلمك وأسنقدرك بقدرتك وأسألك من فضلك العظيم فإنك تقدر ولا أقدر وتعلم ولا أعلم وأنت علاّم الغيوب اللهم إن كنتَ تعلم أن هذا الأمر خير لي في ديني ودنياي وعاقبة أمري عاجله وآجله فاقدره لي ثم يسّره لي وإن كنت تعلم أن هذا الأمر شر لي في ديني ودنياي وعاقبة أمري عاجله وآجله فاصرفه عنّي واصرفني عنه واقدر لي الخير حيثما كان إنك على كل شيء قدير


Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik dari-Mu, dengan ilmu-Mu, aku minta kekuatan dariMu dengan kekuatan-Mu. Aku meminta dari-Mu dari kelebihan-Mu yang banyak, maka sesungguhnya Engkau berkuasa, aku tidak berkuasa, Engkau mengetahui dan Engkaulah yang paling mengetahui perkara-perkara ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untukku pada agamaku, duniaku dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa akan datang maka tentukannya untukku dan permudahkannya kepadaku, jika kamu mengetahui bahawa perkara ini tidak baik untukku pada agamaku dan duniaku dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa akan datang maka elakkannya dariku dan elakkan diriku daripadanya, tentukanlah kebaikan untukku di mana sahaja aku berada sesungguhnya Engkau berkuasa di atas segala sesuatu."
(HR At-Tirmizi dan Bukhari)


Kaedah 2 (yang lebih ringkas)


Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat yang pertama, baca Surah Al-Kafiruun (1 kali). Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat yang kedua, baca 1 Surah Al-Ikhlas (1 kali). Selepas selesai memberi salam, bacalah doa seperti dalam Kaedah 1 di atas.

Pemberian....  

Posted by WaN_IkRaM in

Sedikit Kata-Kata pada kali ini...cuba kita renungkan sedalam mungkin....


Sekali Kita Memberi, Terus Lupakan
Tetapi
Sekali Orang Memberi, Ingatlah Sampai Bila-Bila




Jangan pula Kita Amalkan Seperti Kata-Kata ini...


Sekali kita Memberi, Ingat Lah Sampai Bila-Bila
Tapi
Sekali Orang Memberi, Terus Lupakan



Masalih al-Mursalah @ Maslahah  

Posted by WaN_IkRaM in

Konsep Maslahah

Di dalam kitab al-Mustasfa Min Ilmi al-Usul karangan Imam al-Ghazali, makna maslahah pada asalnya ialah menjaga kebaikan atau kepentingan dan menolak kemudharatan dan kerosakan. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan maslahah ialah penjagaan dan pemeliharaan maksud atau tujuan pensyariatan sesuatu hukum dan syariat. Manakala penjagaan dan pemeliharaan maksud Syarak terhadap makhlukNya ada lima iaitu : menjaga agama mereka, jiwa mereka, akal mereka, keturunan mereka, dan harta mereka. Menurut beliau lagi, apa-apa yang dapat membawa kepada penjagaan maksud dan tujuan perkara yang lima ini ialah maslahah, manakala apa-apa sahaja perkara yang boleh membawa kepada kerosakan perkara yang lima ini dipanggil mafsadah.[1]

Maslahah mursalah merupakan maslahah yang tidak diperakui oleh Syarak secara nas yang tertentu dan khas, juga tidak dinafikan. Tetapi sesuatu itu dilihat sebagai platform atau landasan untuk mencapai maqasid al-Syarak iaitu menjaga kebaikan dan menolak kemudharatan.[2]

Bagaimanapun, menurut al-Amidi, hanya mazhab Maliki sahaja yang menggunakan dan menerimapakai Maslahah Mursalah ini, manakala mazhab Syafie dan Hanafi tidak berpegang dengannya sebagai salah satu sumber perundangan Syarak, akan tetapi menerima maslahah yang diperakui Syarak sahaja.[3]

Walaubagaimanapun, apa yang dimaksudkan oleh al-Amidi ini adalah merupakan Maslahah Yang Tertolak ataupun Maslahah Gharibah (Tidak berasas). Ini adalah kerana, jika diamati dan ditelusuri fatwa-fatwa dan ijtihad Imam al-Syafie sendiri serta Ulama' al-Syafi'iyyah, golongan ini sebenarnya secara praktiknya menerimapakai Maslahah sebagai salah satu sumber perundangan Islam dan asas ijtihad mereka. Begitu juga dengan Mazhab Hanafi dan Hanbali, cuma yang menjadi perbezaannya hanya kelonggaran dan keterikatan mazhab di dalam menggunakannya. Ada yang banyak menggunakannya serta longar sedikit syarat pemakaiannya, dan ada yang ketat dan rigid. Malah menurut Wahbah al-Zuhayli, di dalam kitabnya Usul al-Fiqh al-Islami, keempat-empat mazhab ini sebenarnya menggunakan Maslahah dan mengiktirafnya di dalam ijtihad perundangan Islam.


Pembahagian maslahah menurut al-Ghazali dari konteks pengakuan syarak terhadap maslahah tersebut ada tiga[4] :

1. Maslahah yang dinaskan ataupun yang diperakui oleh syarak bahawa maslahah inilah yang diinginkan daripada pensyariatan sesuatu.

2. Maslahah yang dinaskan dan diperakui oleh syarak bahawa maslahah inilah yang tidak dikehendaki oleh syarak.

3. Maslahah yang tidak diperakui oleh syarak bahawa samada maslahah itu yang dikehendaki ataupun maslahah itu yang tidak dikehendaki.

Manakala menurut al-Syatibi, penjagaan maksud Syarak di dalam penetapan SyariatNya, dapat dikategorikan kepada tiga iaitu, dharuriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat.[5] Pembahagian yang tiga ini menurut al-Ghazali pula ialah termasuk di dalam kategori yang ketiga di dalam pembahagian pengakuan Syarak terhadap maslahah sepertimana yang telah dibincangkan di atas.[6] Huraiannya sebagaimana berikut:

Dharuriyyah : merupakan tingkat pertama dan terkuat di dalam maslahah, iaitu menjaga keutamaan asas yang lima iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta

Hajiyyah : merupakan kepentingan biasa, maksudnya ianya diraikan untuk menolak kesusahan tetapi tidak sampai merosakkan lima keutamaan tadi.

Tahsiniyyah : pelengkap kepada kehidupan dan maslahah. Keselesaan dan penambahbaikan di dalam sesuatu syariat dan maslahah.

Pengkategorian ini adalah penting di dalam memahami keutamaan di dalam menetapkan sesuatu hukum, di mana keutamaan yang pertama akan diberikan kepada keutamaan asas (dharuriyyat), kemudiannya ialah kepentingan biasa (tahsiniyyat) dan seterusnya barulah keselesaan (Tahsiniyyat).[7]



[1] Abu Hamid Muhammad al-Ghazali, (2000). al-Mustasfa Min 'Ilm al-Usul. Jilid 2. Beirut, Muassasah al Risalah. Hlm 481 & 482.

[2] Yusuf Ahmad al-Badwi, (2000). Maqasid al-Syariah Inda Ibn Taimiyyah, Jordan, Dar Al-Nafais. Hlm. 352

[3] Ali Ibn Muhammad al-Amidi, ( 2003). al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam, jilid 4, Riyadh, Dar al-Shami’ie. Hlm. 195

[4] Abu Hamid Muhammad al-Ghazali, op.cit. Hlm. 478

[5] Abu Ishak Ibrahim Al-Syatibi, (1997). Al-Muwafaqat, jilid 2, al-Khubar, Dar Ibnu Affan. Hlm. 17

[6] Abu Hamid Muhammad al-Ghazali, op.cit. Hlm. 481

[7] Mahmood Zuhdi Abdul Majid, (2006). Pengaruh Timbal Balik Antara Hukum Dan Budaya Dalam Syariat Islam, Dlm, Md. Salleh Hj Md @ Hj. Ahmad et.al, Hukum Islam Dan Budaya Tempatan, Kuala Lumpur, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Hlm. 4.

Air Jampi Tok Ca  

Posted by WaN_IkRaM

Air jampi tok ca digunakan dalam pelbagai amalan magis dan perbomohan kerana air tersebut dianggap sebagai bahan yang mengandungi unsur-unsur magis dan kesaktian, iaitu sebagai hasil daripada tindakan Bikhu ( monk) yang menyediakannya. Dua elemen kudus perlu dilibatkan dalam menghasilkan air jampi : bikhu yang membaca formula berkenaan dan formula itu sendiri yang terdiri daripada ayat-ayat suci Buddhis dalam bahasa Pali yang dikenali sebagai parit.

Dalam istilah Siam, air jampi dikenali sebagai nam mon. istilah ini terdiri daripada dua patah perkataan dalam bahasa Thai : nam bermaksud air, sementara mon adalah istilah yang berasal daripada bahasa Sansekerta, mantra yang bermakna jampi atau mantera. Nam mon merupakan air jampi yang dihasilkan melalui pembacaan ayat-ayat suci ( suat mon ) oleh sekumpulan bikhu.

Bagi menghasilkan Nam mon, 3 jenis bahan diperlukan : air biasa yang jernih, sejenis "benang mentah" (sai sin) dan beberapa batang lilin. Mula-mula sekali, air diisikan ke dalam sebuah batil (bat) yang diletakkan di hadapan sebuah patung Buddha. Beberapa batang lilin yang bernyala dilekatkan di atas birai batil. Sementara itu pula, satu hujung benang mentah itu diikat pada bahagian bawah patung Buddha . Tali itu kemudiannya dililit pada bekas berisi air sebanyak satu kali ; yang selebihnya dipegang oleh sekumpulan bikhu. Ayat-ayat suci parit dibaca serentak oleh semua bikhu, apabila hampir kepada bacaan ayat terakhir, salah seorang daripada bikhu, biasanya yang tertua, akan mengambil sebatang daripada lilin yang menyala itu. Sambil memusing batil berisi air itu pada birainya, beliau akan menitikkan lilin cair ke dalamnya. Apabila selesai bacaan parit, bikhu tersebut akan memadamkan lilin yang menyala dengan mencelupkannya ke dalam air dalam batil tersebut.

Air jampi digunakan di kalangan orang Siam untuk pelbagai tujuan. Air jampi yang baru sahaja disediakan direnjis oleh bikhu ke atas kepala para hadirin yang menyertai sesuatu upacara kebiaraan. Tujuannya ialah untuk menguatkan semangat mereka, dan juga untuk menjauhkan diri daripada kecelakaan. Lebihan air jampi disimpan di biara dalam balang kaca untuk berbagai-bagai kegunaan lain, termasuklah sebagai bahan asas untuk melarutkan ubat-ubat (tumbuhan). Air jampi juga dibawa balik ke rumah untuk dicurahkan ke dalam perigi supaya air dalam perigi itu mendapat hikmat bacaan parit. Pendek kata air jampi adalah bahan yang bersifat serbaguna di antara bahan-bahan magis yang terdapat di biara.

Dari segi tekniknya, cara penyediaan air jampi cara Siam hampir sama dengan penghasilan air tawar oleh pengamal Melayu ; kedua-duanya melibatkan pembacaan ayat-ayat tertentu yang akan menukarkan sifat air tersebut daripada air biasa kepada air yang mempunyai kuasa magis. Air tawar yang disediakan oleh orang Melayu juga bersifat serbaguna kerana air tersebut boleh dipakai untuk berbagai-bagai tujuan magis dan sebagai penawar.

Air jampi yang disediakan oleh bikhu juga digunakan oleh orang Melayu mungkin secara tidak disedari oleh mereka, terutama sekali oleh mereka yang berkunjung ke biara untuk mendapatkan rawatan perubatan daripada bikhu atau pengamal Siam yang lain. Jika mereka datang untuk mandi air limau atau mandi air bunga bagi menolak sesuatu bala, atau membersihkan diri daripada sial, maka air mandi yang disediakan itu pastinya telah juga dicampurkan dengan air jampi tok ca selain bahan biasa yang seperti bunga-bungaan, air beluru, dan hirisan limau purut. Jika mereka datang untuk mengambil ubat-ubatan tradisional, kemungkinan besar akar kayu dan ramuan herba yang diberikan itu telah dilarutkan dalam air yang bercampur dengan air jampi. Selain itu dalam penyediaan ubat penyeri muka, dan peralatan hiasan diri yang lain, bedak sejuk yang digunakan sebagai asas juga dicampur dengan air jampi. Bagi orang Melayu juga air jampi yang dihasilkan oleh para bikhu dianggap sangat mujarab jika disiram di tempat-tempat atau objek-objek yang telah dipanah petir.

Rujukan & Nukilan : Elemen Siam & Buddhis Dalam Sistem Kepercayaan Tradisional Orang Melayu Kelantan, Mohamed Yusoff Ismail, dalam Kosmologi Melayu (2001).

Godaan Iblis Dalam Solat  

Posted by WaN_IkRaM




Rasulullah s.a.w telah menyoal Iblis sabdanya,

" Wahai iblis, ketika umatku berdiri mendirikan solat, bagaimanakah hal engkau pada waktu itu ?" Jawab iblis,

" Waktu itulah masa yang paling sukar
bagiku, seluruh badan aku akan menggeletar dan lemah. Lalu aku memerintahkan sekelian bala tenteraku yang terdiri dari syaitan dan jin supaya menggoda orang yang hendak solat itu.

" Setiap orang akan digoda oleh berpuluh-puluh syaitan, setengah pada anggotanya supaya ia berasa malas." " Setengah akan masuk kedalam hatinya supaya ia merasa was-was serta terlupa akan bilangan rakaat dan bimbang terhadap pekerjaan dunia lalu ia segera keluar dari sembahyangnya."

"Setengah akan masuk kedalam mata dan menjadikan hatinya tidak senang. Setengah yang lain pula akan duduk di atas belakangnya supaya orang itu tidak tahan lama untuk duduk tahyat akhir, sementara di dalam hatinya berkehendakkan supaya sembahyang itu cepat habis.

Semua godaan ini adalah supaya pahala sembahyang seseorang umatmu itu menjadi kurang. Sekiranya segala godaan syaitan itu tidak berhasil maka akan aku hukum dengan seberat-berat hukuman ke atas syaitan-syaitan itu!!".